'Majlis fatwa mesti bincang tugu 1M'sia'

Sunday, June 5, 2011

Pemimpin PAS menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) mengkaji secara terperinci keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang menegah pembinaan tugu 1Malaysia baru-baru ini.

Jawatankuasa itu membuat keputusan itu antaranya kerana khuatir ia boleh menjurus kepada pemujaan al-Ansab (berhala).

Ahli jawatankuasa pusat PAS Dr Mujahid Yusuf (kanan) berpendapat pembinaan tugu 1Malaysia dibimbangi menjadi 'objek penyembahan' seperti yang berlaku pada Tugu Negara.

"Malah saya lihat ia lebih kepada pembaziran dan melupakan kepentingan-kepentingan rakyat," katanya ketika ditemui Malaysiakini di Muktamar PAS di Gombak baru-baru ini.


Dr Mujahid berkata, sebelum ini PAS ada membuat ketetapan dengan tidak bersetuju dengan tindakan bertafakur depan Tugu Negara.

"Menggunakan kaedah Saddul Zarai', iaitu menyekat daripada berlaku perkara yang lebih besar, maka (mungkin) ia menjadi asas fatwa (jawatankuasa fatwa Perlis), takut menjadi objek penyembahan," katanya.

Dr Mujahid bagaimanapun masih belum lagi melihat asas-asas perincian berhubung keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa fatwa negeri Perlis.

Sementara itu, ketua penerangan PAS Idris Ahmad dan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu turut bersetuju agar keputusan fatwa negeri Perlis itu dibincangkan MFK secara terperinci.

Bagaimanapun kedua-dua pemimpin itu - yang ditemui selepas membuat pemilihan di Muktamar PAS - enggan mengulas lanjut berhubung fatwa tersebut.

Sebaliknya mereka meminta perkara itu dirujuk kepada tokoh ulama atau anggota Dewan Ulama yang lebih dianggap lebih layak memberikan pendapat berhubung perkara itu.

0 comments:

Post a Comment

MY BLOG LIST

About This Blog

  © Blogger template Foam by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP