‘Polis’ rompak pekerja asing
Sunday, November 6, 2011
KUALA KANGSAR - Terpedaya dengan suara penjenayah yang menyamar sebagai anggota polis, lima warga Bangladesh menjadi mangsa rompakan di rumah pekerja kawasan pertanian, Kampung Bendang Panjang, di sini, Ahad lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.00 malam itu, kesemua mangsa sedang tidur dan kemudiannya terjaga setelah terdengar pintu rumah mereka diketuk.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Deputi Superintendan Guan Beng Kang berkata, selepas pintu rumah diketuk, mereka terdengar suara lelaki memberi arahan supaya membuka pintu dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis.
Menurutnya, mangsa disuruh membuka pintu dengan alasan untuk membuat pemeriksaan pasport dan kad pendatang asing.
“Kerana menyangka penjenayah ini adalah polis, mereka tidak melawan atau teragak-agak untuk membuka pintu.
“Selepas membuka pintu, didapati lima lelaki dipercayai berbangsa Melayu berada di hadapan rumah dan dua daripadanya bersenjatakan parang panjang,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.
Beng Kang berkata, penjenayah terus menyerbu masuk dan mengarahkan mangsa memberikan barangan berharga dan mereka tidak berani melawan kerana bimbang dicederakan.
Beliau berkata, akibat daripada kejadian itu, mereka mengalami kerugian sebanyak RM700 dan empat telefon bimbit turut dilarikan.
“Selain wang tunai, segala dokumen warga Bangladesh berkenaan turut dilarikan termasuk pasport tetapi mereka ditinggalkan dalam keadaan selamat dan hanya salah seorang mangsa cedera ringan di bahagian mata.
“Selepas kejadian itu, mangsa terus menghubungi majikan mereka dan membuat laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Kuala Kangsar,” katanya.
Katanya, bagaimanapun, kesemua lima lelaki itu masih belum dikenal pasti dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
0 comments:
Post a Comment