Tukang kebun sorok enam guni ganja

Friday, June 3, 2011

ALOR SETAR -Tindakan seorang pengedar dadah cuba menyembunyikan enam karung guni mengandungi 114 ketulan mampat tumbuhan kering disyaki ganja dalam sebuah stor akhirnya berjaya ditumpaskan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim, berkata, suspek yang juga seorang tukang kebun berumur 45 tahun ditahan ketika di hadapan rumahnya susulan daripada tangkapan suspek pertama berumur 47 tahun dipercayai rakannya.

Katanya, sebelum ini polis menahan suspek pertama pada 30 Mei jam 5.30 petang di kawasan Merbok ketika menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan selain cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap sewaktu operasi polis.

“Ketika melakukan pemeriksaan ke atas motor itu, polis menjumpai satu plastik mengandungi tiga bungkusan ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja seberat 3.150 kilogram bernilai RM11,000.

“Siasatan yang dijalankan ke atas suspek juga mendapati dia pernah ditangkap di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 pada tahun 2008 dan ujian urin mendapati suspek positif ganja,” katanya pada sidang media, semalam.

Ahmad berkata, siasatan lanjut ke atas suspek bekerja sebagai buruh itu turut membongkar aktiviti pengedaran suspek kedua ketika polis menyerbu ke rumahnya di Ladang Sungai Batu.

“Semasa disoal siasat suspek berkenaan membawa polis ke sebuah stor bersebelahan rumah dan menunjukkan enam karung guni yang apabila diperiksa di dalamnya mengandungi 114 ketulan mampat ganja seberat 116.11 kilogram.

“Nilai pasaran keseluruhan ganja yang dirampas dalam stor itu dianggarkan hampir RM400,000,” katanya.

Menurutnya, polis turut menjumpai sepucuk pistol jenis Smith & Wesson, 84 butir peluru hidup 9 milimeter dan satu gari di dalam bilik tidur suspek berkenaan.

“Polis turut menyita beberapa harta milik suspek antaranya dua kereta jenis Hilux, empat motosikal dan berangan elektrik berjumlah RM172,800,” katanya.

Kedua-dua suspek lelaki itu direman bermula 31 Mei hingga 6 Jun 2011.

0 comments:

Post a Comment

MY BLOG LIST

About This Blog

  © Blogger template Foam by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP