Benarkah nyawa Taib di hujung tanduk?

Tuesday, April 12, 2011

Di mata Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pilihan raya negeri Sarawak ini sangat penting. Penting kerana ia boleh menjadi ukuran sokongan rakyat kepada pentadbirannya selepas mengambilalih dari Tun Abdullah Ahmad Badawi pada April 2009.

Di mata pakatan pembangkang khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim, kemenangan di Sarawak membuka laluan menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang.

Selelah seminggu berkempen, kini jentera kempen Barisan Nasional dan pembangkang semakin panas. Kini tinggal tiga hari lagi rakyat Sarawak mengundi pada Ahad ini.

Ceramah pembangkang khususnya oleh Anwar dilaporkan mendapat sambutan ramai. Di mana-mana ceramah bekas timbalan perdana menteri itu dibanjiri ribuan orang.

Apatah lagi Anwar begitu rakus mendedahkan keburukan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud. Dari harta kekayaan hinggalah kepada kelewatan ketua menteri berundur didedahkan.

Kini bukan sahaja di Sarawak telah mengetahui harta Abdul Taib yang banyak itu. Malah jumlah tanah yang dikaitkan dengan ketua menteri itu juga didehkan. Jika tiada pilihan raya barangkali orang tidak tahu harta keluarga Taib.

Berikutan muncul ramalan bahawa BN pimpinan Abdul Taib akan tumbang kali ini. Jika penyalahgunaan kuasa dan kekayaan Abdul Taib diberi pertimbangan, pengundi sepatutnya tidak memberi peluang kepadanya lagi.

Tetapi pemenang dalam mana-mana pilihan raya bukan diukur dari segi ramainya orang mendengar ceramah.

Apakah Abdul Taib akan jatuh kali ini?

Jawabannya ya dan tidak. Pada 1987, ketua menteri itu berdepan krisis politik yang lebih besar – terbesar sepanjang 30 tahun memegang jawatan nombor satu di bumi Kenyalang itu.

Pada 13 Mac DUN Sarawak terpaksa dibubarkan berikutan tuntutan 27 dari 48 ADUN mendesak Abdul Taib meletakkan jawatan atau menghadapi undi tidak percaya.

Bekas ketua menteri, Tun Abdul Rahman Yaakub, yang juga bapa saudara Taib mengetuai Kumpulan Maju (terdiri dari Permas dan PBDS).

Dalam pilihan raya itu, Kumpulan Maju menang 20 kerusi, 15 kerusi di kawasan majoriti kaum Iban.

Bagaimanapun, Abdul Rahman sendiri kalah. Belum pun berakhir tahun 1987, sembilan ADUN Kumpulan Maju telah melompat parti dan dengan itu saingan Abdul Taib dalam politik Sarawak tamat.

Dengan sokongan penuh dari pusat. tidak mungkin Abdul Taib akan kalah. Tidak mungkin Datuk Seri Najib Tun Razak akan membiarkan Sarawak jatuh kepada pembangkang.

Tidak mungkin Najib merelakan Sarawak menjadi titik mula kepada kumpulan yang mahu ke Putrajaya selepas pilihan raya umum kelak.

0 comments:

Post a Comment

MY BLOG LIST

Blog Archive

About This Blog

  © Blogger template Foam by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP