POLITIK "ORANG BUTA PEGANG GAJAH" DI SARAWAK

Tuesday, April 12, 2011

Dalam perjalanan pulang dari Sebuyau semalam, seorang anak muda memperkenalkan dirinya sebagai seorang yang datang dari Semenanjung untuk melihat kempen pilihanraya Sarawak.

Saya tanya sudah berapa lamakah di sini dan anak muda itu memberitahu dia sudah berada di Sarawak baru dua hari. Setelah berbual panjang di atas feri Batang Sadong, anak muda itu memberitahu itulah kali pertama dia dan kawan-kawannya ke Sarawak.

Puncanya mudah, dia ingin melihat melihat sendiri kempen pilihanraya di negeri ini. Rasa ingin tahu yang memuncak menyebabkan dia mengambil tiket Firefly dan terbang ke sini.

Walaupun telah pergi ke beberapa kawasan DUN dan melihat sendiri pilihanraya Sarawak, beliau masih ingin tahu pandangan saya mengenai pilihanraya ini. Setiap hari, pasti akan ada orang yang bertanya soalan yang sama - mereka ingin tahu bagaimanakah saya melihat pilihanraya Sarawak.

Seringkali, saya mengelak untuk memberikan jawapan. Seperti orang lain, saya juga cuba mencari petunjuk dan berusaha memahami arus politik di kalangan rakyat di negeri ini. Saya makan di gerai, berbual dengan anak-anak muda dan cuba "memancing" sesiapa saja yang ditemui untuk mendapatkan maklumat.

Saya melihat dan cuba memahami apabila melihat anak-anak muda menggantung banner dan poster parti. Saya cuba mentelaah apakah maksudnya apabila ada rumah yang menggantung bendera dua parti politik lawan di rumah yang sama. Mata saya mencari melihat bagaimanakah rakyat negeri ini menzahirkan sokongan kepada parti lawan.

Pulang ke hotel, saya menerokai internet dan melihat perbahasan. Saya melihat bagaimanakah pembangkang melakukan psywar (psychological warfare) dengan mengatakan mereka telah "menawan" bandar-bandar tertentu walaupun pengundi masih belum membuat keputusan. Kalau membaca Twitter Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali atau Ketua AMK, Sdr Shamsul Iskandar, saya tidak menyalahkan anda sekiranya anda membuat rumusan bahawa BN tidak akan menang satu kerusi pun dalam pilihanraya negeri ini!

Saya juga membaca perbalahan anak-anak muda dari kedua-dua belah pagar politik. Apa yang saya tidak dapat lihat ialah debat di kalangan pemimpin politik Sarawak. Saya menggunakan beberapa alatan pemantauan media sosial (social media monitoring tool) untuk "mencari" perbahasan politik di kalangan rakyat Sarawak. Apa yang saya nampak ialah ia tidak banyak. Bukan tidak ada, cuma tidak banyak. Kebanyakannya berlegar di sekitar orang Semenanjung yang ghairah dengan politik Sarawak.

Melihat keadaan dan minat ini, tentulah tidak salah kalau ada pihak yang mengatakan pilihanraya Sarawak ini diwarnai oleh aktor-aktor politik dari Semenanjung. Bukan itu saja, malah hero dan heroin juga dari Semenanjung. BN Sarawak bukan berhadapan dengan cabaran dari pemimpin politik negeri ini, tetapi dari pemimpin DAP, PAS dan PKR dari Semenanjung. Peranan pemimpin pembangkang dari Sarawak adalah bersifat tokenisme. Parti pembangkang tempatan seperti SNAP kelihatan tidak bermaya, kecuali di beberapa buah tempat.

Saya cuba memahami mengapakah pemimpin politik pembangkang Sarawak tidak menonjol dan berpuas hati sekadar menjadi "orang kedua" atau "orang ketiga" (second fiddle). Adakah mereka tidak ada kemampuan dan tidak ada keyakinan diri yang tinggi? Atau, adakah mereka juga ingin meniti arus persaingan politik Semenanjung yang dibawa ke Sarawak?

Apa sekali pun, saya menghadapi kesukaran untuk menjawab soalan mengenai kedudukan parti-parti politik yang bertanding di sini. Sarawak ialah sebuah negeri yang paling besar dan pada masa yang sama ia juga mempunyai kepadatan penduduk paling rendah di negara ini. Taburan penduduk yang merata menyebabkan cara berfikir dan bertindak juga berbeza. Ini adalah merupakan cabaran paling besar kepada parti-parti politik yang bersaing di sini.

Apabila diajukan soalan tersebut, saya seringkali memberikan analogi orang buta pegang gajah. Yang pegang belalai, akan kata gajah itu panjang. Yang pegang badan, akan kata gajah itu besar. Manakala, yang pegang ekor akan kata gajah itu halus!

Begitu jugalah dengan politik di Sarawak. Bergantung kepada di manakah seseorang melihat kempen, ia mencorakkan cara beliau melihat politik Sarawak. Sebagai contoh, orang yang melihat kempen DAP di bandar-bandar besar akan merumuskan bahawa tsunami melanda Sarawak. Kehadiran - terutama sekali di kalangan masyarakat Cina - dalam ceramah yang diterajui DAP agak tinggi. Sementara, mereka yang melihat kehadiran di ceramah PKR di Asajaya semalam akan membuat kesimpulan, "Bungkuslah PKR selepas ini!"

Sama ada kedua-dua pendapat itu benar atau tidak, kita tunggulah pilihanraya pada 16 April nanti. Sekiranya anda baru sehari dua berada di Sarawak seperti anak muda yang saya temui di atas feri Batang Sadong semalam, usah terlalu cepat membuat rumusan - lebih-lebih lagi sekiranya anda hanya berada di sekitar bandar Kuching, Miri dan Sibu.

Pada masa yang sama, saya berharap kita tidak memandang politik Sarawak sebagai sesuatu yang simplistik. Sarawak sudah melahirkan ramai cerdik pandai. Sistem pendidikan Sarawak berjaya melahirkan pemimpin-pemimpin politik hebat di kedua-dua belah pagar politik. Menyelusuri senarai nama calon-calon pilihanraya sama ada di sebelah BN, atau pembangkang, kita akan dapat melihat ramai profesional ditampilkan sebagai calon. Saya pernah menyebut bahawa sebahagian besar calon di Sarawak adalah jauh lebih baik dari sesetengah calon di Semenanjung!

Saya juga tidak mahu menjadi orang buta memegang gajah dalam "melihat" politik Sarawak. Hari ini, saya akan meneruskan perjalanan ke Sri Aman dan Beting Maro serta kawasan-kawasan sekitarnya. PAS dikatakan kuat di Beting Maro dan banyak pihak mengatakan sekiranya PAS akan menang dalam pilihanraya ini, ia adalah di Beting Maro.

Semalam saya di Sadong Jaya, Muara Tuang dan Sebuyau - tiga kawasan yang ditandingi PAS. Saya tidak melihat PAS akan memberikan saingan kuat di Muara Tuang dan Sebuyau (walaupun PAS Kedah mempunyai "rumah" di sini). Kempen PAS di Sadong Jaya agak agresif, namun saya tidak dapat mengukur penerimaan masyarakat setempat kepadanya. Di Tanjung Dato, saya tidak fikir PAS memberikan saingan sengit kepada BN.

Oh ya, terlupa nak tanya - bahagian gajah yang manakah yang anda pegang dalam melihat politik Sarawak?

Adakah belalai?

Atau, kaki?

Atau, adakah anda memegang gading?

NOBISHA

0 comments:

Post a Comment

MY BLOG LIST

Blog Archive

About This Blog

  © Blogger template Foam by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP