Isu kuasa Taib tidak pengaruhi pengundi di Sarawak

Friday, April 15, 2011

PETALING JAYA: Pendedahan terhadap kekayaan dan pemerintahan lama Tan Sri Abdul Taib Mahmud kurang mempengaruhi pengundi untuk mengundi Barisan Nasional (BN) esok, kata penganalisa politik tempatan.

Prof Datuk Dr Zainal Kling berkata, ini kerana isu yang membabitkan Ketua Menteri Sarawak itu sudah dijawab oleh pucuk pimpinan parti dan kerajaan.

“Ia berbeza semasa mantan perdana menteri Tun Abdullah (Ahmad Badawi) pada pilihan raya umum ke 12 lalu. Beliau tidak jawab tuduhan terhadap menantu dan kroninya.

“Bila tidak jawab, orang anggap tuduhan itu betul dan itu menjadi salah satu faktor BN kalah dalam pilihan raya umum lalu.

“Kalau hendak kata Taib lama dalam politik, pemimpin pembangkang juga lama. (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Karpal Singh juga lama, sampai sudah ada dinasti politik,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pembangkang memainkan isu kekayaan keluarga Taib dan 30 tahun pemerintahannya sebagai bahan utama kempen dalam pilihan raya ini. Taib sudah menjadi ketua menteri Sarawak selama 30 tahun dan paling lama memegang jawatan itu dalam sejarah Malaysia.

Prof Dr Zainal juga mengulas kenyataan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang dipercayai merujuk kepada Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad akibat terlalu lama menjadi menteri besar Terengganu hingga menjadi faktor menyebabkan negeri itu jatuh ke tangan PAS dalam pilihan raya umum 2008.

Menurutnya, Taib tidak sama dengan Wan Mokhtar dan kerana itu apa yang berlaku di Terengganu tidak akan terjadi di Sarawak.

“Orang Terengganu dalam pilihan raya 2008 tolak Wan Mokhtar secara senyap-senyap,” tambahnya.

BN katanya, akan menang besar di kawasan luar bandar tetapi menghadapi laluan sukar di kerusi majoriti Cina kerana saingan dari DAP.

Prof Zainal berkata, peluang pembangkang lain iaitu Snap dan PKR kecil kerana perbalahan sesama mereka.

Katanya, pengaruh pengerusi PKR, Baru Bian juga kecil kerana beliau orang baru dalam parti itu selain pernah kalah dua kali di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelabit atas tiket Snap.

“Dia cuma ada pengaruh di kalangan pengundi Orang Ulu kerana Orang Ulu keturunannya,” katanya.

Pada pilihan raya negeri Sarawak 2006, BN menang 63 kerusi dari 71 kerusi yang dipertandingkan.

1 comments:

Anonymous,  April 15, 2011 at 1:01 AM  

Isu kuasa Taib memang ada sedikit mempengaruhi pengundi, kecuali mereka yang penyokong tegar BN/PBB. Pilehanraya kali ini tidak boleh di samakan dengan yang berlaku pada tahun 2006. Kali ini ramai sudah buka mata akan kerakusan Rejim Taib dan kuncu2nya menyalahguna kuasa spt rampas tanah rakyat untuk kepentingan keluarga dan kroni2nya, kebajikan orang2 asal terbiar, projek2 besar disapu dan di ageh untuk keluarga dan kroni2nya, hospital dijanjikan di petra jaya pada tahun 2006 baru saja diluluskan pada pilehanraya tahun ini secara kebetulan saja entah2 tak jadi kalau BN tewas.

Post a Comment

MY BLOG LIST

Blog Archive

About This Blog

  © Blogger template Foam by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP